suratan hati yang tersirat

Wajahmu Muncul Pada Maya Lihatku Ketika Tersentak Firasat Ingatanku Hanya Padamu, Maka Terkedu Nada Pada Irama Rinduku

Wednesday, July 30, 2008

ILHAM DIMATAMU ........... MILA


Hayatilah 3 baris pertama lagu ini yang benar-benar telah menjentik sudut  perasaan yang aku alami sekarang............ 

Di waktu rindu, ku mengemis secebis ehsan
Airmataku yang bergenang, kau biar jatuh
Berlinangan, tanpa kau coba mengucupku

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari
terbiar terkapai-kapai tanpa jawaban dan sebab musabab

........... dunia dan kehidupan tidak pernah kejam
tetapi kedua-duanya menjadi kejam di atas perbuatan manusia itu sendiri

Ku persembahkan, tetapi diterajang jatuh tersungkur menyembah bumi
Apa dicari, entah apa yang kurang....... perlu apa lagi diunjurkan
Cuma, manusia itu hitam bila cahaya keputihan menyilau minda dan jiwa mereka
Lantas gagahi mencoraknya agar diwarnai dengan berbagai ragam
menjurus kepada keputusan celaru tanpa asas ........ tapi diam membisu tidak bernoktah

Kenapa.............






Saturday, July 19, 2008

hikmah pada setiap kejadian


Narz anakku,

Apa yang berlaku, anggaplah sebagai satu dugaan dan cabaran dalam menempuhi kehidupan di dunia ciptaan Illahi ini.

Walid tahu anak walid kuat dan tabah menghadapi segala onak dan duri.  Jangan bimbang, walid sentiasa di sisi Narz untuk menghadapi dugaan ini.  Narz mungkin masih mampu tersenyum dan kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku, namun jauh di sudut hati Narz, airmata tetap mengalir lesu di dalam luka hati yang mula mengalir darah merah citra kasih Narz.

Banyak hikmah disebalik kejadian itu.  Apa saja keputusan yang diambil oleh SIDIA terhadap kasih suci Narz, terimalah dengan redha.  Tidak salah untuk Narz berduka dan bersedih lantaran kasih tak kesampaian, tapi hidup harus diteruskan.  Masih ramai lagi di luar sana untuk Narz berkongsi kasih semula.

Walid hanya mahu anak walid kembali senyum seperti dulu dan ceria seperti adanya.  Jangkauilah hidup dengan megah atas nama budi bahasa dan peribadi yang mulia.  Tumpukan kepada pelajaran yang akan membantu masa depan Narz.  Jadilah anak walid yang walid bisa banggakan dengan megah.

Ingat Narz, walau apapun yang terjadi, walid sentiasa di sisi Narz untuk memberi perangsang, memberi nasihat, membakar semangat, memberi tunjuk ajar sekadar termampu serta membantu Narz dalam menghadapi episod-episod kehidupan yang lebih mencabar di masa hadapan.

You are always my son, and Walid is always there for you!

Saturday, July 5, 2008

MELAYU........ SEMAKIN LAYU

                                                             
           

Berbicara perihal orang Melayu, tak pernah sunyi dari kontroversi, tak pernah lekang dengan persengketaan, tak pernah diam dari berbagai isu.  Aduh!.. sedihnya bangsa Melayu sekarang semakin jauh terpesong dari adab sebenar peradaban Melayu, semakin mundur ke belakang menjadi bangsa yang lupa diri dan juga semakin gah di mata dunia bukan kerana percapaian tetapi kerana perbalahan sesama bangsa yang seakan tiada penghujungnya.

Bangsa Melayu, akan tergadailah bumi Malaysia ini semula seumpama tergadainya Temasik kepada bangsa pendatang, yang akhirnya akan mengemis di bumi sendiri.

Gah ingin memiliki kekayaan dunia dengan menindas bangsa sendiri

Megah dengan status dunia sehingga membelakangi agama dan adab  kesopanan Melayu yang tersohor

Biar papa asalkan bergaya

Berkecampuk minda dan emosi generasi muda lantas bertuhankan wang ringgit, bangga menjadi artis pujaan, punk, bohsia, berlumba-lumba mengejar impian menjadi kaya, walaupun terpaksa mengadai maruah, harga diri dan menabur racun pada setiap nada perjalanan menuju 2020!

PHD (Perasaan Hasad Dengki) sememangnya sudah sebati sebagai satu karektor orang Melayu, tak akan senang melihat bangsa sendiri bangun untuk berjuang atau berdiri megah seiring dengan bangsa lain di bumi Hang Tuah ini.  Sedih, bangsa Melayu asyik tikam menikam bangsa sendiri, dan jatuh tersungkur di bumi sendiri.

Politik, terlalu amat kotor malah menanah hingga sukar untuk diubati lagi. Dek kerana politik kotor bangsa kita sendiri, sudah ternyata maka akan hancurlah bangsa Melayu ni..... Kenapa harus Melayu bersengketa kerana agama, kerana kedudukan dan kerana fahaman parti yang berbeza?  kenapa Melayu tidak bisa duduk bersama mencari jalan untuk menyelamatkan bangsa Melayu yang semakin menuju kehancuran

Sultan Mahmud mangkat dijulang, Pembunuhan Hang Nadim, dan banyak lagi sejarah awal sudah membuktikan kejelekan bangsa Melayu yang penuh dengan PHD, tomahan, kejalangan sikap, kerakusan nafsu serta kepincangan politik bersistem.

Bangsa Melayu itu sendiri sudah jauh ketinggalan. Di mana bangsa Melayu dalam sektor swasta, dan cuba hitungkan berapa peratus mampu menjawat jawatan-jawatan utama dan berapa ramai yang mampu berkomunikasi di dalam bahasa asing selain dari Bahasa Melayu itu sendiri.  Terduka melihat Melayu begitu gah merempit, berseks rambang dan menyibukkan diri dengan rutin harian melepak di KLCC, kelab-kelab ternama serta tak ketinggalan Mid-valley.  

Takkan Melayu hilang di dunia! ya memang betul bidalan itu, tapi Tak Melayu Hilang Di Dunia kerana bangsa Melayu itu sendiri yang meninggalkan kesan dan penglipura hitam dan kotor yang akan menjadi bahan ketawa, bahan cerita dan bahan rujukan sejarah untuk iktibar kepada bangsa lain!

Masih belum terlambat wahai bangsa Melayu, tetapi mampukah Melayu bangun semula untuk mengubati nanah-nanah busuk yang mula mengalirkan lendirnya pada seluruh pelusok bumi Malaysia?

Mampukah kamu bangsa Melayu?