suratan hati yang tersirat

Wajahmu Muncul Pada Maya Lihatku Ketika Tersentak Firasat Ingatanku Hanya Padamu, Maka Terkedu Nada Pada Irama Rinduku

Saturday, July 5, 2008

MELAYU........ SEMAKIN LAYU

                                                             
           

Berbicara perihal orang Melayu, tak pernah sunyi dari kontroversi, tak pernah lekang dengan persengketaan, tak pernah diam dari berbagai isu.  Aduh!.. sedihnya bangsa Melayu sekarang semakin jauh terpesong dari adab sebenar peradaban Melayu, semakin mundur ke belakang menjadi bangsa yang lupa diri dan juga semakin gah di mata dunia bukan kerana percapaian tetapi kerana perbalahan sesama bangsa yang seakan tiada penghujungnya.

Bangsa Melayu, akan tergadailah bumi Malaysia ini semula seumpama tergadainya Temasik kepada bangsa pendatang, yang akhirnya akan mengemis di bumi sendiri.

Gah ingin memiliki kekayaan dunia dengan menindas bangsa sendiri

Megah dengan status dunia sehingga membelakangi agama dan adab  kesopanan Melayu yang tersohor

Biar papa asalkan bergaya

Berkecampuk minda dan emosi generasi muda lantas bertuhankan wang ringgit, bangga menjadi artis pujaan, punk, bohsia, berlumba-lumba mengejar impian menjadi kaya, walaupun terpaksa mengadai maruah, harga diri dan menabur racun pada setiap nada perjalanan menuju 2020!

PHD (Perasaan Hasad Dengki) sememangnya sudah sebati sebagai satu karektor orang Melayu, tak akan senang melihat bangsa sendiri bangun untuk berjuang atau berdiri megah seiring dengan bangsa lain di bumi Hang Tuah ini.  Sedih, bangsa Melayu asyik tikam menikam bangsa sendiri, dan jatuh tersungkur di bumi sendiri.

Politik, terlalu amat kotor malah menanah hingga sukar untuk diubati lagi. Dek kerana politik kotor bangsa kita sendiri, sudah ternyata maka akan hancurlah bangsa Melayu ni..... Kenapa harus Melayu bersengketa kerana agama, kerana kedudukan dan kerana fahaman parti yang berbeza?  kenapa Melayu tidak bisa duduk bersama mencari jalan untuk menyelamatkan bangsa Melayu yang semakin menuju kehancuran

Sultan Mahmud mangkat dijulang, Pembunuhan Hang Nadim, dan banyak lagi sejarah awal sudah membuktikan kejelekan bangsa Melayu yang penuh dengan PHD, tomahan, kejalangan sikap, kerakusan nafsu serta kepincangan politik bersistem.

Bangsa Melayu itu sendiri sudah jauh ketinggalan. Di mana bangsa Melayu dalam sektor swasta, dan cuba hitungkan berapa peratus mampu menjawat jawatan-jawatan utama dan berapa ramai yang mampu berkomunikasi di dalam bahasa asing selain dari Bahasa Melayu itu sendiri.  Terduka melihat Melayu begitu gah merempit, berseks rambang dan menyibukkan diri dengan rutin harian melepak di KLCC, kelab-kelab ternama serta tak ketinggalan Mid-valley.  

Takkan Melayu hilang di dunia! ya memang betul bidalan itu, tapi Tak Melayu Hilang Di Dunia kerana bangsa Melayu itu sendiri yang meninggalkan kesan dan penglipura hitam dan kotor yang akan menjadi bahan ketawa, bahan cerita dan bahan rujukan sejarah untuk iktibar kepada bangsa lain!

Masih belum terlambat wahai bangsa Melayu, tetapi mampukah Melayu bangun semula untuk mengubati nanah-nanah busuk yang mula mengalirkan lendirnya pada seluruh pelusok bumi Malaysia?

Mampukah kamu bangsa Melayu?

No comments: